Yang Dipertua MPPG, Hasrin Kamal Hashim berkata, perjanjian itu bertujuan untuk merea­lisasikan hasrat pihaknya dalam membangunkan prasarana yang terbaik untuk komuniti setempat.

Beliau berkata, kerjasama ini melibatkan projek pembangunan taman-taman komuniti atau taman-taman lain yang difikirkan sesuai di sekitar kawasan perumahan dalam pentadbiran MPPG.

“Terdapat 10 buah taman komuniti yang telah dibangunkan di kawasan pentadbiran MPPG sebelum ini, melibatkan kemudahan seperti laluan jo­ging, gelanggang pelbagai guna dan taman permainan kanak-kanak.

“Selain mahu menjadikan kawasan ini mapan dan rendah karbon, kerjasama ini juga selari de­ngan hasrat menyediakan sebuah taman komuniti untuk setiap taman perumahan,” katanya pada majlis menandatangani MoA di Menara Aqabah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Landskap MPPG, Zanariah Kadir; Dekan Fakulti Alam Bina UTM, Prof. Dr. Roslan Amirudin dan Ketua Jabatan Senibina Landskap UTM, Prof. Madya Dr. Hasanuddin Lamit.

Sementara itu, Roslan berkata, kerjasama itu turut memberi peluang kepada pihaknya untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat.

“Kerjasama ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pensyarah dan penuntut untuk bersama-sama terlibat dalam projek yang memberi manfaat kepada komuniti tempatan,” katanya.